Kubu Parit Dalam -Kubu Mat Kilau

Pelancongan & Tempat Bersejarah | 26 May 2026

Kubu ini terletak di Kampung Parit Dalam, Mukim Budu, Kuala Lipis, Pahang Darul Makmur. Berdasarkan fakta sejarah, kubu ini pada asalnya merupakan sebuah saliran yang dibina oleh pelombong emas yang bertujuan untuk mengalirkan limpahan air lombong terus ke Sungai Teka.

Semasa berlakunya pencerobohan oleh pihak Inggeris yang diketuai oleh Walker dan Clifford ditemani oleh tiga orang Inspektor bangsa Eropah, dua orang Jemadar dan seratus lima puluh orang askar Sikh pada bulan Mei 1892, kubu ini telah digunakan oleh Pahlawan Pahang sebagai benteng pertahanan.

Pada masa dahulu, panjang kubu ini lebih kurang 300 meter, lebar 5 meter dan kedalamannya setinggi pohon kelapa ataupun hampir 10 meter. Ianya dijadikan benteng oleh Imam Rasu (Tok Gajah), Mat Kilau dan pengikut-pengikutnya dengan menggunakan kaedah peperangan ranjau. Lebih separuh askar Sikh telah terbunuh di dalam parit ini. Memandangkan pihak Inggeris mempunyai askar yang ramai dan dengan kekejaman mereka, kekuatan Inggeris ditambah pula dengan dorongan pengkhianat mengakibatkan Kg Budu dibakar hangus. Akhirnya Tok Gajah, Mat Kilau dan pengikut-pengikutnya telah berundur ke Kampung Ampau dan bersembunyi sehingga ke Kampung Racang, Tekong, Chat hinggalah ke Tualang Padang. Ada antaranya mereka telah lari bersembunyi ke Bukit Raya.

Rujukan: Jang Aisjah Mutalib, Pemberontakan Pahang 1891–1895 (Kota Bharu: Pustaka Aman Press, 1972); Khatul Jeram, Hikayat Pahang (Kuala Lumpur: Fajar Bakti, 1986); Nordini Selat, Pahang Dahulu dan Sekarang (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1996).